Tak sampai setengah hari berpuasa dah penat? Tekak rasa kering, bila sampai waktu berbuka minum sampai bergelas-gelas air sejuk lepastu terasa senak. Tambah lagi dengan cuaca yang sekejap panas, sekejap mendung hujan yang tak menentu. Rasa lemau badan, tak bermaya dan bibir pun pecah-pecah.

Nak taknak kita memang kena jugak cuba minum air sebanyak yang mungkin kalau nak kekal produktif untuk menjalankan urusan setiap hari. Kalau yang tak biasa minum air putih banyak tu memang sengsara la kan? Sebab tu saya ingin kongsikan kepada anda bagaimana untuk berjaya minum sekurang-kurangnya 8 gelas air sehari di bulan puasa ini :-

elak dahaga di bulan puasa maps-01

1. Minum 2 Gelas Air Ketika Sahur : Cuba untuk minum sekurang-kurangnya dua gelas air (suam dan bukan sejuk) ketika sahur kerana badan anda akan menghadapi keadaan berlapar dan dahaga seharian. Seeloknya campurkan beberapa biji kurma di dalam segelas air sebelum tidur dan biarkan. Air ini dikenali sebagai air Nabeez, salah satu sunnah Nabi yang boleh diikuti.

2. Minum air banyak di antara waktu berbuka dan sahur : Kerana kita berpuasa di siang hari, maka pada waktu malam, harus diamalkan pengambilan air yang banyak untuk menggantikan semula air yang hilang ketika kita berpuasa. Sentiasa sediakan segelas air di dalam bilik untuk minum sekerap yang mungkin.

3. Pilih makanan dengan kandungan air yang tinggi : Ketika berbuka dan bersahur, dahulukan buah-buahan kerana ianya mempunyai kandungan air yang tinggi. Buah-buahan juga dapat membantu sistem pencernaan untuk bekerja lebih lancar.

4. Elak minum banyak ketika berbuka : Memang selalunya air yang akan dicapai dahulu, tetapi tahukah anda, lebih elok untuk berbuka dengan hanya segelas dua air panas? Ini untuk mengelakkan perut berasa kejang, terkejut dan sekaligus membuatkan anda berasa senak dan kurang selesa.

Cadangan minum air ketika puasa:

1 gelas selepas berbuka dengan kurma

1 gelas selepas makan nasi

1 gelas selepas solat Isyak

1 gelas selepas solat Terawikh

1 gelas setelah makan malam (moreh)

1 gelas sebelum tidur

1 gelas sebelum sahur

1 gelas selepas makan sahur

Nampak tak penting kan? Tapi air memang penting untuk memastikan tubuh kita sihat dan bertenaga untuk menempuhi ibadah seharian berpuasa. Tips ini bukan sahaja boleh diamalkan ketika bulan puasa, tetapi juga setiap masa – supaya hidup anda akan sihat sentiasa!

Salam Ramadhan dan selamat mencuba ya.

Share This