Kerap bersin, gatal hidung, hidung tersumbat dan hidung berair antara  alahan rinitis.

Namun, gejala ini sering dianggap biasa dan ramai yang tidak ambil kisah kemungkinan berisiko mendapat penyakit lain berkaitannya.

Pakar Perunding Otorinolaringologi Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Prof Madya Dr Rosdan Salim, berkata gejala awal rinitis berlaku kerana keradangan membran nasal (hidung) yang kerap bersin, hidung berair, hidung tersumbat, gatal hidung atau mana-mana kombinasi itu.

Katanya, gejala itu tidak dapat dikesan individu, namun jika ia berlarutan dalam tempoh lima hari atau seminggu individu perlu mendapat rawatan lanjut.

Masalah rinitis boleh dikesan sendiri oleh pesakit dengan segera dengan membuat pemeriksaan doktor bagi mengelakkan ia merebak menjadi resdung atau alahan sinusitis.

Antara lain, alahan rinitis iaitu hidung pesakit sering tersumbat dan berair apabila terdedah kepada habuk.

“Pesakit kerap bersin berpanjangan sebaik bangun tidur terutama pada waktu pagi yang menyebabkan rasa tidak selesa, gatal hidung, mata, tekak dan muka serta kahak yang mengalir di belakang tekak.

“Gejala ini perlu dibendung bagi mengelakkan ia merebak dan membawa kepada masalah resdung,” katanya ketika ditemui di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, Kelantan.

Alahan rinitis terjadi kerana pesakit terdedah kepada hama debu, habuk, kelemumur binatang peliharaan dan pencemaran udara terutama dalam keadaan cuaca kering.

Masalah alahan rinitis jika tidak dirawat akan membawa kepada resdung atau keradangan sinus (sinusitis).

Masalah sinusitis akan menyebabkan pesakit mengalami sakit di bahagian dahi, belakang mata, sakit muka dan kepala apabila bersujud atau membengkokkan badan, kerap demam, deria bau terganggu dan lendir kehijauan atau kuning.

“Alahan rinitis dan sinusitis amat berkait rapat yang disebabkan persekitaran dan alahan yang menyebabkan sistem imun individu menjadi terlalu sensitif.

“Ia juga dipengaruhi oleh faktor genetik atau keturunan. Jika ibu bapa mempunyai masalah resdung atau seduan, 50 peratus anak-anak mereka akan turut mengalaminya.

“Namun, masalah ini boleh dirawat atau hilang dengan sendirinya apabila seorang meningkat dewasa,” katanya.

Dr Rosdan berkata, cecair berlendir jika ditelan tanpa disedari akan terkumpul dalam hidung dan menyebabkan lapisan mukosa membengkak dan menyekat bukaan sinus.

Jika jangkitan berlaku, cecair berlendir ini akan berubah warna menjadi lendir kehijauan atau kuning di dalam sinus.

“Alahan rinitis dan sinusitis akan menyebabkan pesakit hilang deria bau disebabkan hidung tersumbat. Dalam kes itu ia boleh dirawat menerusi ubat atau pembedahan kecil membuang penghalang untuk mengembalikan deria bau.

“Kita mendapati 95 pesakit yang mendapat rawatan di HUSM alah kepada makanan laut dan 40 peratus alah kepada bulu kucing atau binatang peliharaan.

“Kajian kita juga mendapati antara 27 hingga 30 peratus bagi 100 individu mempunyai masalah seduan atau resdung,” katanya.

Katanya, pesakit juga perlu menjauhkan diri daripada alahan termasuk hama debu, habuk dan bulu binatang peliharaan.

Pesakit digalakkan supaya sentiasa membasuh hidung secara menyedut sedikit air dalam hidung dan membuangnya.

“Kita akan menggunakan ubat antihistamin bagi mengurangkan rasa gatal atau berair dalam hidung.

“Pesakit boleh menggunakan steroid untuk menyembur di kawasan radang atau sensitif. Pakar perubatan akan membuat keputusan untuk rawatan kepada pesakit.

“Pembedahan kecil akan ditawarkan jika ubat yang diberi tidak mampu merawat bagi mengecilkan bahagian dalam hidung (turbinete),” katanya

Sumber berita: https://www.bharian.com.my/wanita/sihat/2018/10/488860/kerap-bersin-perlu-rawatan-lanjut