Tengah penat? Rasa tak fokus padahal baru setengah hari berpuasa? Amboi, teruk benar bunyinya. Jangan jadikan berpuasa sebagai alasan untuk tidak jadi produktif tau! Sebenarnya tak ada masalah untuk kekal bertenaga dan sihat ketika sebulan berpuasa – asalkan kena caranya bila kita berpuasa.

Kadang-kadang kita terlepas pandang benda mudah yang memberi impak kepada badan kita ketika berpuasa. Mari lihat beberapa tips untuk berpuasa dengan bijak :

Puasa 1-01

Ketika Sahur

  • Ketika sahur sebaiknya hindari makanan yang manis atau terlalu banyak gula.
  • Paling baik ketika sahur adalah meminum susu dan air kosong, sebaiknya ketika bangun tidur, selepas sahur dan menjelang imsak.
  • Banyakkan makan buah-buahan dan makanan berkuah.
  • Elakkan dari bersahur dengan makanan segera, bergoreng atau makanan pedas kerana akan menganggu sistem pencernaan perut anda.
  • Untuk mendapatkan lebih tenaga, kisar 5-6 biji kurma sehingga menjadi jus dan minum. Tidak perlu tambah gula atau madu.

Saat Berpuasa

  • Bersabar dalam menjalankan kerja anda, dan jangan gopoh. Elakkan berasa tertekan (stress) kerana ini akan mengundang rasa lapar.
  • Ambil masa untuk berehat seketika, terutamanya sebelum masuk waktu zuhur. Tidur seketika (10-15minit) sudah cukup untuk buat badan terasa lebih segar.
  • Melakukan senaman ringan seperti peregangan atau berjalan kaki saat berpuasa sangat disarankan.
  • Alihkan pandangan ke warna-warna terang tapi lembut untuk melegakan ketegangan mata.

Waktu Berbuka

  • Segerakan berbuka. Dahulukan pengambilan kurma dan air kerana ini dapat meningkatkan paras gula dalam darah dan menjadikan anda rasa bertenaga. Jadi tidak perlu makan makanan yang lebih dari keperluan, kan?
  • Jaga adab ketika makan, terutama ketika berbuka beramai-ramai. Ambil makanan yang paling hampir dahulu dan kunyah secara tertib. Makan secara gelojoh boleh memberi kesan buruk kepada sistem penghadaman.
  • Elakkan dari berbuka dengan makanan segera, bergoreng atau terlalu masin. Ini akan menjadikan badan anda lesu, cepat letih dan penat.
  • Sebaiknya berbuka dengan sesuatu yang panas supaya badan anda rasa bertenaga semula dan perut akan kekal selesa. Bubur, sup atau susu panas (horlicks, milo, ovaltine etc) adalah contoh menu yang sesuai.

Waktu Malam

  • Cuba untuk tidak makan terlalu banyak pada waktu antara berbuka dan sahur. Ini untuk membiasakan dan untuk melegakan sistem pencernaan perut supaya lebih bersedia untuk berpuasa pada hari esoknya.
  • Elakkan dari berjaga terlalu lama. Tidur yang mencukupi dapat membantu badan anda untuk membekalkan tenaga untuk melakukan kerja-kerja seharian pada esok hari.
  • Hindarkan dari minum terlalu banyak air satu jam sebelum tidur.

Mudah kan sebenarnya untuk berpuasa? Sama-sama kita beramal di bulan Ramadhan ini ya! Selamat mencuba dan semoga ibadah berpuasa kita diterima.

Share This